Jenis Visa

Gambaran Keseluruhan

Pada umumnya, warganegara luar yang bercadang memasuki Amerika Syarikat perlu memohon visa, sama ada visa bukan imigran untuk tinggal sementara atau visa imigran untuk menjadi penduduk tetap. Rakyat dari negara yang layak boleh berkunjung ke Amerika tanpa visa dengan Program Penepian Visa. Semua pengunjung yang datang ke Amerika Syarikat di bawah Program Penepian Visa perlu mendapatkan kelulusan melalui Sistem Elektronik Penguatkuasaan Perjalanan (ESTA) sebelum berkunjung ke Amerika Syarikat.

Jika anda tidak layak untuk Program Penepian Visa atau datang untuk belajar, bekerja, menyertai program pertukaran, atau mana-mana sebab yang tidak termasuk dalam tujuan perjalanan visa B, anda perlukan visa bukan imigran.

Visa tidak menjamin kemasukan ke Amerika Syarikat. Visa hanya menunjukkan bahawa pegawai konsular As menyatakan bahawa anda layak untuk memohon kemasukan ke Amerika Syarikat dengan tujuan khusus.

Visa Bukan Imigran

Visa bukan imigran digunakan oleh pelancong, peniaga, pelajar atau pekerja pakar yang bercadang untuk menetap selama tempoh yang tertentu di Amerika Syarikat untuk melaksanakan tujuan tertentu. Merujuk kepada undang-undang dan peraturan visa Amerika, kebanyakan pemohon visa bukan imigran perlu membuktikan kepada pegawai konsular yang anda mempunyai ikatan yang kukuh di negara asal dan perlu menunjukkan bahawa anda akan meninggalkan Amerika Syarikat selepas menetap sementara.

Visa Imigran

Visa imigran adalah untuk individu yang bercadang untuk menetap di Amerika Syarikat. Visa imigran membenarkan permohonan untuk kemasukan ke Amerika Syarikat sebagai Penduduk Tetap Sah dan mempunyai peluang untuk mendapatkan kewarganegaraan Amerika. Kebanyakan pemohon visa imigran bermula dengan ahli keluarga yang layak dan merupakan warganegara Amerika atau pemastautin sah mengemukakan petisyen bagi pihak imigran kepada Perkhidmatan Kerakyatan dan Imigresen Amerika (USCIS) di Amerika Syarikat atau di Kedutaan Amerika di luar. Majikan Amerika juga boleh memfailkan petisyen untuk rakyat asing yang majikannya mahu pekerja itu bekerja untuk jawatan tetap.