Visa Pelajar

Dalam halaman ini:


Soalan Lazim

Gambaran Keseluruhan

Amerika Syarikat mengalu-alukan kedatangan warga asing untuk datang belajar di Amerika. Sebelum memohon visa, semua pemohon visa pelajar mesti diterima dan diluluskan kemasukan mereka ke kolej atau program. Setelah diterima, institusi pengajian akan menyediakan setiap pemohon dengan dokumen kelulusan yang diperlukan untuk diserahkan semasa memohon visa pelajar.

Kelayakan dan Keterangan Visa

Visa F-1
Ini adalah visa pelajar jenis biasa. Jika anda ingin menyambung pelajaran di Amerika Syarikat di sekolah diluluskan, seperti universiti dan kolej AS yang bertauliah, sekolah menengah persendirian, atau program bahasa Inggeris yang diluluskan, maka anda perlukan visa F-1. Anda juga perlu visa F-1 jika kursus pelajaran anda lebih daripada 18 jam seminggu.

Visa M-1
Jika anda bercadang untuk menyertai latihan vokasional atau bukan akademik di institusi di AS, maka anda perlukan visa M-1.

Maklumat lanjut tentang setiap visa dan peluang belajar di Amerika Syarikat boleh didapati di Laman sesawang Pendidikan AS.

Maklumat Lain

Sekolah Awam AS
Undang-undang AS tidak membenarkan pelajar asing memasuki sekolah rendah awam (tadika hingga gred 8) atau program pendidikan dewasa tajaan awam.   Oleh itu, visa F-1 tidak boleh dikeluarkan untuk pendidikan di sekolah tersebut.

Visa F-1 boleh dikeluarkan untuk belajar di sekolah menengah awam (gred 9 hingga 12), tetapi pelajar dihadkan kepada maksimum 12 bulan di sekolah. Sekolah perlu menyatakan dalam borang I-20 bahawa pelajar telah membayar kos pelajaran yang tidak disubsidikan dan jumlah yang dikemukakan oleh pelajar untuk tujuan tersebut.

Untuk maklumat lanjut tentang keperluan perundangan F-1, sila layari Laman sesawang Jabatan Negara.

Nota:Pemegang visa bukan imigran A, E, F-2, G, H-4, J-2, L-2, M-2 atau derivatif lain boleh mendaftarkan diri dalam sekolah menengah dan rendah awam.

Tanggungan

Pasangan dan/atau anak belum berkahwin di bawah umur 21 tahun yang ingin mengiringi atau mengikut pemegang visa utama di Amerika Syarikat sepanjang tempoh beliau di sana memerlukan visa M atau F derivatif. Tidak ada visa derivatif untuk ibu bapa pemegang F atau M.

Ahli keluarga yang tidak berniat untuk tinggal bersama pemegang visa utama di Amerika Syarikat, tapi bercadang untuk lawatan percutian sahaja, layak untuk memohon visa pelawat (B-2).

Pasangan dan tanggungan tidak boleh bekerja di Amerika Syarikat dengan visa F atau M derivatif. Jika pasangan/anak mencari pekerjaan, pasangan perlu mendapatkan visa pekerjaan yang sesuai.

Perkara Berkaitan Permohonan

Untuk memohon visa F atau M, anda perlu menyerahkan perkara berikut:

  • Borang Permohonan Elektronik Visa Bukan Imigran (DS-160). Layari laman sesawang DS-160 untuk maklumat lanjut mengenai DS-160.
  • Pasport yang sah untuk perjalanan ke Amerika Syarikat mesti mempunyai tempoh sah sekurang-kurangnya enam bulan melebihi cadangan tempoh menetap anda di Amerika Syarikat (melainkan perjanjian spesifik antara negara memberikan pengecualian). Jika lebih daripada seorang yang dimasukkan ke dalam pasport, setiap orang yang memerlukan visa perlu mengemukakan permohonan.
  • Satu (1) gambar 2"x2" (5cmx5cm). Halaman ini mempunyai maklumat lanjut tentang format gambar yang diperlukan.
  • Resit menunjukkan bayaran yuran permohonan visa bukan imigran sebanyak US$160 yang tidak dikembalikan, dibayar dalam mata wang tempatan. Halaman ini mempunyai maklumat lanjut tentang pembayaran yuran. Jika visa dikeluarkan, mungkin terdapat yuran tambahan timbal balas pengeluaran visa, bergantung pada kerakyatan anda. Laman sesawang Jabatan Negara boleh membantu anda menentukan sama ada anda perlu membayar yuran timbal balas pengeluaran visa dan jumlahnya.
  • Borang I-20 yang diluluskan oleh sekolah atau program di AS.
  • Resit yuran SEVIS Borang I-901 yang menyatakan yuran SEVIS telah dibayar. Layari laman sesawang SEVIS untuk maklumat lanjut.

Selain semua item ini, anda perlu menunjukkan surat temu duga untuk mengesahkan anda telah membuat janji temu melalui perkhidmatan ini. Anda juga boleh membawa mana-mana dokumen sokongan yang anda yakin dapat menyokong maklumat yang diberi kepada pegawai konsular.

Dokumen Sokongan

Dokumen sokongan adalah salah satu faktor yang akan dipertimbangkan oleh pejabat konsular semasa temu duga. Pejabat konsular akan meneliti setiap permohonan dan mempertimbangkan faktor profesional, sosial, budaya dan faktor lain semasa membuat keputusan. Pejabat konsular mungkin akan melihat tujuan khusus anda, keadaan keluarga, dan pelan jangka panjang anda dan prospek negara tempat tinggal anda. Setiap kes disemak satu persatu dan berdasarkan pertimbangan undang-undang.

Perhatian: Jangan bawa dokumen palsu. Penipuan atau kesilapan akan menyebabkan anda tidak layak mendapat visa buat selama-lamanya. Jika anda khuatir tentang kerahsiaan, anda harus membawa dokumen anda ke Kedutaan dalam sampul surat yang bergam. Kedutaan tidak akan mendedahkan maklumat anda kepada sesiapa dan menghormati kerahsiaan maklumat anda.

Anda mesti membawa dokumen berikut semasa temu duga:

  • Dokumen yang membuktikan jaminan kewangan, sosial dan ikatan keluarga di negara anda yang boleh menarik anda untuk pulang ke negara anda setelah program pendidikan di Amerika tamat.
  • Dokumen kewangan dan lain-lain yang anda yakin boleh menyokong permohonan anda dan boleh memberi bukti kukuh yang anda mempunyai tabungan yang cukup untuk menampung semua perbelanjaan tahun pertama dan mempunyai akses kepada kewangan yang cukup untuk menampung semua perbelanjaan semasa berada di Amerika Syarikat. Pemohon M-1 perlu membuktikan keupayaan untuk membayar kos tuisyen dan harian untuk sepanjang tempoh menetap.
  • Salinan foto penyata bank tidak akan diterima melainkan anda juga boleh menunjukkan penyata bank asal atau buku bank asal.
  • Jika anda ditanggung sepenuhnya oleh orang lain, bawa bukti hubungan anda dengan individu tersebut (seperti sijil kelahiran), borang cukai asal terkini penaja, buku bank atau sijil simpanan tetap.
  • Dokumen akademik yang menunjukkan persediaan ilmiah. Dokumen berkaitan seperti transkrip sekolah (salinan asal diutamakan) dengan gred, sijil peperiksaan awam (A-level, dll.), markah ujian penilaian (SAT, TOEFL, dll.), dan diploma.

Dokumen Sokongan untuk Tanggungan

Pemohon dengan tanggungan perlu menyerahkan:

  • Bukti hubungan pelajar dengan pasangan atau anak (cth., sijil perkahwinan dan kelahiran)
  • Adalah lebih baik ahli keluarga memohon visa pada masa yang sama, tetapi jika pasangan dan/atau anak memohon secara berasingan kemudiannya, mereka perlu membawa salinan visa dan pasport pemegang visa pelajar dan dokumen lain yang diperlukan.

Maklumat Tambahan

Latihan Praktikal Pilihan (OPT)
Pemegang visa F-1 mungkin layak sehingga 12 bulan untuk latihan praktikal pilihan berikutan selesai semua kursus yang diperlukan untuk lulus ijazah (tidak termasuk tesis atau sebagainya), atau selepas selesai semua keperluan. OPT adalah berasingan daripada pengajian pelajar, dan masa OPT biasannya tidak termasuk dalam program akademik atau tarikh selesai pelajaran. Pelajar yang memohon visa F untuk OPT perlu menunjukkan I-20 dengan tarikh selesai program asal yang mungkin telah lepas. Walau bagaimanapun, I-20 ini mesti dianotasikan oleh pegawai pendidikan tertentu untuk menunjukkan kelulusan program OPT yang disambung melewati tempoh biasa pengajian. Selain itu, pelajar mesti mempunyai bukti bahawa USCIS telah meluluskan program latihan praktikal mereka atau permohonan tersebut akan tergantung, sama ada dalam bentuk Kad Kebenaran Bekerja atau Borang I-797 menyatakan dia masih mempunyai permohonan belum selesai untuk program OPT.

Kesahan Visa Pelajar Selepas Cuti dalam Pengajian

Pelajar yang bercuti daripada pengajian lebih daripada lima bulan perlu memohon dan menerima visa pelajar F-1 atau M-1 baru untuk kembali ke sekolah berikutan kunjungan keluar seperti diterangkan di bawah:

Pelajar dalam AS

Pelajar (F-1 atau M-1) mungkin kehilangan status ini jika mereka tidak menyambung pengajian dalam tempoh lima bulan dari tarikh perpindahan sekolah atau program, mengikut undang-undang imigresen. Jika pelajar tersebut kehilangan status, melainkan USCIS mengembalikan status pelajar tersebut, Visa F dan M pelajar tersebut menjadi tidak sah untuk perjalanan pulang ke Amerika. Untuk maklumat lanjut lihat laman sesawang USCIS, dan arahan untuk Permohonan untuk Lanjut/Menukar Status Bukan Imigran Borang I-539 untuk meminta pengembalian status.

Pelajar - Pulang ke AS selepas Perjalanan Keluar Negara

Pelajar yang meninggalkan AS untuk berehat semasa belajar selama lima bulan atau lebih akan kehilangan status F-1 atau M-1 mereka melainkan aktiviti luar negara mereka berkaitan dengan kursus sedang diambil. Sebelum memulakan perjalanan, pelajar mungkin ingin merujuk kepada pegawai pendidikan berkaitan, jika timbul persoalan sama ada aktiviti mereka adalah berkaitan dengan kursus mereka.

Apabila inspektor imigresen Kastam dan Pengawal Sempadan (CBP) di pintu masuk diberikan visa F-1 atau M-1 yang telah digunakan dan masih belum tamat tempoh oleh pelajar yang berada di luar AS dan tiada status pelajar untuk tempoh lebih lima bulan, inspektor imigresen CBP akan mendapati pelajar tersebut tidak boleh dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai visa bukan imigran yang sah. CBP boleh membatalkan visa selepas memberi izin kepada pelajar untuk membatalkan permohonan untuk kemasukan. Oleh itu, lebih baik sekiranya pelajar tersebut memohon visa baharu daripada Kedutaan di luar negara sebelum kembali ke AS untuk menyambung pelajaran, selepas tidak hadir lebih daripada lima bulan dan hal ini tiada kaitan dengan kursus pengajian mereka.